KUALA TERENGGANU – Dua pelajar kolej vokasional di Kuala Nerus cedera selepas diserang lebih kurang 20 pelajar lain dalam kejadian di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu pada awal pagi semalam, lapor Harian Metro.

Ahmad Zikrill Azim, 16, pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, yang juga altet boling Terengganu, lebam di badan dan dua kali pengsan. Manakala rakannya, Wan Ahamd Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.

Kecederaan yang dialami oleh Ahmad Zikrill itu menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila pengsan ketika disoal siasat polis berkaitan kejadian itu selepas keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, petang semalam.

Lapor portal Harian Metro, kejadian itu berlaku di asrama sekolah kira-kira jam 1.30 pagi semalam yang ketika itu Ahmad Zikrill sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut oleh sekumpulan pelajar dipercayai pelajar senior sekolah sebelum dibelasah beramai-ramai.

Mangsa hanya mampu meraung kesakitan dan pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu diarahkan supaya berdiam diri dan tidak campur tangan.