BAYI lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Indera Mahkota 5.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bapa mangsa, Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, menghantar anak tunggalnya itu ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada 8.10 pagi.

“Ketika berada di tempat kerja, Mohd Haniff menerima panggilan dari isterinya yang memaklumkan pengasuh Ahnaf Hanafi membawa anak mereka mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

“Pengasuh berkenaan memberitahu Ahnaf Hanafi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam buaian dengan keadaan mata terbuka,” katanya.

Beliau berkata, ketika tiba di klinik berkenaan, bapa mangsa melihat anaknya dalam keadaan kebiruan dan dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa anaknya itu sudah meninggal dunia.

Katanya, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada 3.44 petang.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan setakat ini kita mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber : Harian Metro